PROMOSI

Sunday, August 29, 2010

Memastikan kemerdekaan mapan untuk negara

Oleh Khaled Nordin

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Memastikankemerdekaanmapanuntuknegara/Article
2010/08/30

IPT bukan saja tempat pengisian ilmu, tetapi juga membina tamadun, peradaban bangsa

SETIAP tahun kita didatangi Ogos iaitu bulan kemerdekaan. Lazimnya, apabila menjelang bulan keramat ini, pelbagai acara dan program disusun bagi meraikan sambutan kemerdekaan negara, termasuk mengibarkan Jalur Gemilang.
Kedatangan bulan kemerdekaan bukan menjadi alasan untuk kita merayakannya tanpa sebab dan matlamat, sebaliknya ia mesti menjadi satu pegangan dan peringatan betapa pentingnya nikmat dan anugerah kemerdekaan serta kewajipan kita untuk mengekalkannya.
Kita memerlukan kemerdekaan bukan untuk tempoh tertentu saja, sebaliknya biarlah kemerdekaan itu kekal abadi selagi ada bulan dan matahari.

Selepas 53 tahun merdeka, kita akui pelbagai pencapaian negara diperoleh. Misalnya baru-baru ini, Malaysia menduduki tempat ke-37 dalam senarai negara terbaik dunia dan ketiga di rantau Asia sebagai negara pilihan yang mampu menyediakan tempat untuk hidup lebih selesa, sejahtera dan maju. Perkembangan ini membuktikan Malaysia berupaya memberikan persekitaran dan kehidupan selamat kepada rakyatnya hasil kemerdekaan yang diperoleh sejak 1957 lagi.

Bagaimanapun, pencapaian yang diperoleh itu tidak akan kekal lama sekiranya kita terus lena dan alpa. Kita perlu terus bekerja keras bagi memastikan kemerdekaan berkekalan. Konsep kemerdekaan mapan cukup penting kerana hanya kemerdekaan jangka panjang akan menjamin keselamatan dan kesejahteraan.

Kemerdekaan mapan bukan saja boleh memenuhi keperluan semasa negara bahkan juga boleh menjamin kemajuan serta kesejahteraan negara dan rakyat pada masa depan. Dalam hal ini, kita percaya salah satu cara menjamin kemerdekaan lestari dan mapan ialah melalui pendidikan.
Dalam konteks sektor pengajian tinggi, kita sudah membina institusi pengajian tinggi (IPT) yang tujuan utamanya mengangkat pengetahuan masyarakat dan membina tamadun juga peradaban masyarakat dan bangsa.

Sebagai bangsa merdeka dan tidak terkongkong oleh kuasa penjajahan, penubuhan IPT amat signifikan terutama apabila kita mengaitkannya dengan proses perkembangan dan kemajuan ilmu yang mahu dipupuk mengikut acuan dan kehendak kita sendiri.

Peranan pengajian tinggi khususnya IPT dalam mengisi kemerdekaan cukup besar. Mereka bukan sekadar menjadi pusat perkembangan dan kemajuan ilmu untuk rakyat semata-mata, malah turut berfungsi sebagai alat berkesan dalam pembangunan negara khususnya memperkukuhkan jaringan sosio-ekonomi dan sosio-politik masyarakat, khususnya pada awal kemerdekaan.

Hal ini penting kerana seperti yang kita maklum, tahap perpaduan kaum masih belum kukuh pada era awal kemerdekaan terutama wujudnya ketidakseimbangan antara kaum khususnya dalam soal kedudukan ekonomi. Kewujudan universiti awam membuka akses besar kepada masyarakat, khususnya Bumiputera dan ini sekali gus merapatkan jurang perpaduan nasional apabila kedudukan mereka dapat dipertingkat melalui pendidikan.

Memperkasa identiti nasional

Kita percaya tumpuan universiti tidak seharusnya terbatas kepada perkara seperti pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI), pencapaian kebolehpasaran graduan dan kedudukan dalam ranking semata-mata.

Sebaliknya, mereka perlu mengangkat martabat dan kedudukan sebagai institusi keilmuan yang turut menyumbang kepada pembinaan bangsa. Hal ini boleh dicapai antaranya melalui komitmen IPT dalam memperkukuh dan membudayakan nilai moral dan etika supaya akhirnya mereka mampu melahirkan generasi yang mempunyai akal budi tinggi dan nilai kemanusiaan sejati.

Perlu diingat, tanpa nilai moral dan etika, kita tidak mampu melahirkan warga negara hebat kerana apalah maknanya jika berjaya menggapai kemajuan tetapi pada masa yang sama, jiwa masyarakat kosong malah bejat dari segi perilaku dan akhlak.

Pada masa yang sama, IPT juga mesti memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara yang luhur melalui pembinaan identiti nasional. Sehubungan itu, sudah tiba masanya IPT khususnya sektor swasta melihat dan menilai semula kandungan kursus ditawarkan supaya tidak meminggirkan elemen dan perspektif tempatan.

Pendekatan kajian kes misalnya yang kini menjadi tumpuan dalam pembelajaran di IPT mesti mengambil kira kandungan dan contoh tempatan supaya pelajar mendapat gambaran mengenai realiti dan kedudukan negaranya. Hal ini penting kerana melalui pendekatan ini, kita mampu menjana penge tahuan dan kefahaman jelas di kalangan pelajar terhadap negaranya, sekali gus menimbulkan semangat kecintaan dan kekitaan yang tinggi. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta.

Pendek kata, kemerdekaan amat bergantung kepada sejauh mana rakyat mengenali dan memahami negara mereka sendiri. Kefahaman terhadap sejarah dan kedudukan negara akan menjadikan mereka warga negara rasional dan adil dalam setiap tindakan.

Ini cukup penting jika kita kaitkan Malaysia sebagai negara majmuk yang kaya dengan kepelbagaian. Sikap tolak ansur dan menghormati sensitiviti kaum misalnya akan memperkukuhkan lagi tahap perpaduan di negara ini.

Kesimpulannya, peranan universiti dalam menerajui pembangunan bangsa seterusnya mengekalkan kemerdekaan sememangnya penting dan tidak boleh dinafikan. Jika universiti berada pada landasan betul serta memainkan peranan seperti yang dibincangkan, maka harapan menentukan kemerdekaan mapan akan dapat direalisasikan.

No comments:

Post a Comment